27
Mar
08

Surat untuk ayahanda tercinta…

Assalamualaikum ayah,

Apa khabar ayah disana? Aku doakan moga ayah bahagia dan senang disisi Dia, yang maha berkuasa. Esok genap seratus hari ayah tinggalkan kami. Aku harap dalam seratus hari ni ayah bisa menyesuaikan diri dengan kehidupan baru mu disana. Tentang kami disini, usahlah ayah risaukan. Alhamdulillah kami dah mulai menyesuaikan diri dengan kehidupan baru kami tanpa adanya ayah disisi.

Ayah,

ternyata memikul tanggungjawabmu dalam mengemudi bahtera keluarga ni bukanlah sesuatu yang mudah. Dan aku kagumi ketabahanmu selama 30tahun melayarinya dengan tenang dan penuh wibawa. Kau tak pernah gambarkan keperitan dan kekecewaanmu disaat dugaan datang melanda. Kau juga tak pernah hentikan senyumanmu disaat-saat derita menjenguk. Dan kau tak pernah kesalkan setiap kesilapan yang pernah aku lakukan, malah kau berikan aku harapan untuk berdepan dengan realiti.

Ayah,

sesungguhnya aku amat merindui dirimu. Aku terlalu merindui dirimu. Kadang terasa bagaikan tak terpikul amanah yang kau tinggalkan padaku ini. Tambah memeritkan lagi, tiada lagi tangan kasar yang mengusap ubun-ubunku dan tiada lagi suara garau yang menenangkan aku disaat aku patah harapan dan terasa kerdil. Segala kekuatan yang ada terkumpul dari pesan-pesan dan amanatmu kepadaku disaat kau masih hidup. Aku kesal kerna tiada kenangan indah disaat hari-hari terakhirmu kerna ketiadaanku disisimu waktu itu. Aku iri dengan semua kenangan yang dimiliki oleh bonda, kakak dan adik-adik bersamamu pada hari-hari terakhirmu.

Ayah,

semua tinggalanmu begitu memeritkan untuk kulihat. Kain basahanmu, kenderaanmu, ubat-ubatanmu, tangki oksigenmu, mesin nebulizermu dan kerusi kegemaranmu benar-benar menyentap keteguhan azam yang kubina selepas kepergianmu. Namun begitu, terngiang ditelingaku akan pesan Andri, bahawasanya kamu lebih tenang disana tanpa perlu memikul tangki oksigenmu lagi :) mungkin saja kau berlari kegembiraan kan? Aku senang andainya kau bahagia disana ayah.

Ayah,

setiap pesananmu yang kau sampaikan padaku akan kusimpan untuk kujadikan kekuatanku dalam menghadapi hari yang bakal mendatang. Andai kau terlupa apa yang kukatakan disaat aku kucup dahimu yang dingin disaat kau terlantar kaku, biar aku ingatkan kembali. Insya Allah, kita akan bertemu lagi satu hari nanti. Andai lama hukuman aku di Nar-Nya, tunggulah aku dengan sabar. Kerna aku yakin, kau adalah manusia yang paling sabar yang pernah kukenal selama hidupku, Ayah.

Ayah,

walaupun jasadmu telah tiada disini terimalah salam peluk ciumku yang terlalu merinduimu. Moga diizinkan oleh-Nya untuk kita bertemu lagi. Insya Allah…

Tuhan tolonglah sampaikan sejuta sayangku untuknya, ku terus berjanji takkan khianati pintanya, ayah dengarlah betapa sesungguhnya ku mencintaimu, kan ku buktikan ku mampu penuhi mahu mu




2 Responses to “Surat untuk ayahanda tercinta…”


  1. 1    Elaina April 16, 2008 at 8:20 am

    Sayang….i am sure that your late father will be proud of you…sayunya baca surat ni…semoga dia mendengar segala curahan mu…
    Ya Allah,cucuri rahmatMu keatas rohnya Almarhum Abdul Ghani…semoga dia ditempatkan dikalangan orang2 yang beriman. Amin.

  2. 2    Muhd NoorNaimy August 4, 2008 at 9:29 pm

    Al-Fatihah aku sedekahkan kepada Allahyarham bapamu wahai sahabatku, Muhammad Athmir. Aku pun telah melalui detik yang pahit ini sejak dari aku dilahirkan di dunia ini. Semoga roh bapa kita ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Amin Ya Rabbal ‘Alamin… Al-Fatihah… x3

Leave a Reply