Assalamualaikum dan salam sejahtera. Syabas saya ucapkan untuk anda semua yang telah berjaya mengongkong kebebasan pengguna anda semua untuk menggunakan perkhidmatan anda semua. Saya yakin selepas ini akan lebih berjaya misi pihak berkuasa memantau dan mengawal "kelakuan tidak senonoh" pengguna-pengguna telefon bimbit di Malaysia dengan langkah yang telah dijalankan dan disarankan oleh anda bertiga.
Cuma saya berasa sedikit terkilan dengan sikap pihak anda bertiga. Persaingan yang agresif antara kalian bertiga benar-benar memperbodohkan rakyat Malaysia yang sedia kala bodoh. Penawaran harga yang terendah untuk perkhidmatan kalian semua benar-benar mengecewakan saya sebagai pengguna.
Kita ambil contoh kadar panggilan terendah. Saudara Maxis pernah menawarkan kadar panggilan serendah 39sen pada kadar rata. Setelah sekian lama mendominasi, saudara Digi pula datang dengan selambanya menawarkan kadar terendah sebanyak 38sen pada kadar rata. Lawak apakah ini? Mampukah satu sen membawa perubahan kepada kita? Kemudian Saudara Maxis membalas kebodohan Digi dengan memperbodohkan lagi rakyat Malaysia dengan kempen "Kalau tahu mengira, anda pasti menggunakan Maxis". Kalau tahu mengira? Kenapa harus perbodohkan kami hingga ketahap itu? Bodoh sangat kah kami rakyat Malaysia ni?
Berkenaan dengan IDD pula, ini benar-benar mengecewakan saya. Satu masa dahulu, untuk panggilan ke Indonesia CELCOM pernah menguasai medan ini dengan penawaran harga sebanyak 99sen seminit. Maxis cuba menyaingi dengan harga 85sen seminit. Digi pula tak mampu menahan godaan cabaran ini dan terus bersaing dengan harga 84sen seminit (1sen lagi?) Kemudian CELCOM mengambil langkah berani dengan menawarkan 45sen seminit (yang mana ini memberikan perkhabaran gembira buat pemanggil-pemanggil tegar ke Indonesia seperti saya..hehe). MALANGNYA… kualiti panggilan sangatlah mengecewakan. Sambungannya putus-putus, tak jelas dan kadangkala tak kedengaran langsung perbualan dengan penerima panggilan dari Indonesia. Apakah penurunan harga ini membawa maksud para pengguna CELCOM harus mengorbankan keselesaan mereka untuk berkomunikasi dengan orang-orang yang disayangi di sana? Siapa boleh jawabkan soalan ni?
Apa pun, saya berharap para pengusaha rangkaian telefon bimbit di Malaysia tolong jangan aniaya pengguna telefon bimbit di Malaysia. Ikhlaslah dalam menjalankan perniagaan anda. Jangan fikir anda cuma bertiga, disokong oleh orang paling kaya di Malaysia, disokong kerajaan atau apa-apa sajalah…anda boleh buat sesuka hati tanpa memperdulikan kepentingan pengguna anda.
Tanpa pengguna, siapalah anda. Kalau tak ada pengguna, sampah pun lebih mulia dari anda bertiga. Fikirkan.